Recents in Beach

Twitter Kini X



 SAN FRANCISCO, 24 JULAI – Twitter melancarkan logo baharunya hari ini, menggantikan burung biru itu dengan X putih pada latar belakang hitam ketika syarikat milik Elon Musk itu beralih ke arah penjenamaan semula sebagai X.

Laman web rangkaian media sosial itu menunjukkan logo baharu syarikat itu, tetapi URLnya masih dipaparkan sebagai twitter.com dan butang ‘Tweet’ berwarna biru kelihatan, menunjukkan penjenamaan semula itu belum dimuktamadkan.

Musk dan ketua eksekutif baharu syarikat itu, Linda Yaccarino mengumumkan penjenamaan semula semalam, dengan mengatakan syarikat itu akan dinamakan semula X dan akan beralih kepada pembayaran, perbankan dan perdagangan.

Diasaskan pada 2006, Twitter mengambil namanya daripada bunyi burung, dan ia telah menggunakan penjenamaan burung sejak awalnya, apabila syarikat itu membeli simbol saham burung biru muda dengan harga AS$15, menurut laman web reka bentuk Creative Bloq.

Juga lewat malam semalam, Musk menukar gambar profilnya kepada logo baharu syarikat, yang disifatkannya sebagai ‘Art Deco minimalis,’ dan menukar bio Twitternya kepada ‘X.com,’ yang kini disalurkan semula ke twitter.com.

Musk juga menulis di Twitter bahawa di bawah identiti baharu laman itu, satu hantaran akan dipanggil ‘X’.

Musk telah pun menamakan syarikat induk Twitter X Corporation, dan sebelum ini berkata pengambilalihan gergasi media sosial itu merupakan “pencetus kepada ciptaan X, aplikasi segala-galanya’ – merujuk kepada syarikat X.com yang diasaskannya pada 1999, versi yang kemudiannya menjadi syarikat gergasi pembayaran PayPal.

Aplikasi sedemikian masih boleh berfungsi sebagai platform media sosial dan juga termasuk pemesejan dan pembayaran mudah alih. – AFP

Post a Comment

0 Comments